Pindaan 2013 Akta Pencegahan Jenayah 1959

Selepas Pilihan raya umum Malaysia 2013,[3] kerajaan Malaysia berusaha meminda akta ini bagi menjadikannya berkesan bagi membendung aktiviti jenayah berat.[4]

Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 telah dibaca buat kali pertama oleh Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 25 September 2013,[5] dan diluluskan oleh Dewan Rakyat Malaysia pada 3 Oktober 2013.[3][6] Akta ini membolehkan seseorang yang ditangkap ditahan tanpa bicara bagi tempoh tidak melebihi dua tahun. Malah ia turut memberi kuasa kepada suatu Lembaga Pencegahan Jenayah melanjutkan tempoh tahanan selama dua tahun lagi sekiranya didapati perlu. Anggota lembaga tersebut dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat menteri, ia dipengerusikan seorang hakim dan turut dianggotai empat orang lagi. Pemakaian akta ini juga diperluas ke seluruh Malaysia.[5][3][7] Sebelum ini, polis mempunyai kuasa melalui akta ini untuk menahan suspek bagi tempoh 72 hari untuk membantu siasatan.[1] Akta ini juga asalnya tidak boleh diguna pakai di Sabah dan Sarawak.[8]

Pindaan yang diusulkan pada 2013 ini juga mendukung hasrat dan tujuan yang sama iaitu untuk membanteras kegiatan gengsterisme dan kegiatan jenayah yang semakin meningkat dalam negara.[9]  Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Dr Zahid Hamidi menegaskan, penggubalan POCA adalah untuk mengawal dan membasmi jenayah berat yang semakin membimbangkan, terutamanya jenayah tembak mati yang dikatakan mempunyai hubung kait dengan kegiatan kongsi gelap.[10]

Akta ini setelah penggubalannya pada 2013 menjadikannya bukan lagi undang-undang biasa namun bersifat pencegahan. Hal ini berikutan dengan keadaan perkembangan kesedaran hak asasi manusia pada tahun 2012 mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat setempat. Apabila sesebuah akta bersifat pencegahan, maka, peruntukan-peruntukan yang wujud dalamnya akan memberikan kuasa untuk mengekang segala kegiatan jenayah sebelum menular.

Rujukan

WikiPedia: Akta Pencegahan Jenayah 1959 http://www.aljazeera.com/news/asia-pacific/2013/10... http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/articl... http://www.hmetro.com.my/articles/KuatkuasasemulaA... http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130... http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130... http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/c... http://www.thesundaily.my/news/842573 http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/... http://www.vertic.org/media/National%20Legislation...